dzulfotografi wedding photographer

TIPS / INFO

UNTUK APAKAH ANDA MEMBAYAR JURUGAMBAR ANDA ??

-Seperti yang tersiar di dalam majalah Pesona Pengantin
-Oleh: Hasnuddin Abu Samah, Pengarah Urusan, Adan Impresif.


Apabila anda mengupah seorang jurugambar untuk merakamkan gambar majlis perkahwinan anda, beliau akan mengenakan sejumlah harga tertentu bagi perkhidmatannya. Sekiranya anda tidak memahami akan proses yang terlibat dalam menghasilkan gambar perkahwinan, anda tentu akan menganggap harga yang dikenakan adalah tidak setimpal. Berikut saya senaraikan 5 kos utama yang sebenarnya terlibat dalam menghasilkan gambar perkahwinan:

1) Kos Peralatan Kamera

Untuk menghasilkan gambar perkahwinan yang baik memerlukan kamera yang berkualiti. Satu set kamera digital yang baik berharga dalam lingkungan RM 10,000. Selain dari kos pembelian, kos pemeliharaan juga diambil kira. Set kamera ini perlu dinaiktaraf, diservis dan diperbaiki jika berlaku kerosakan. Peralatan digital mengalami susut nilai yang lebih cepat berbanding peralatan kamera analog. Dengan mengambil kira semua kos inilah jurugambar mengenakan harga tertentu untuk perkhidmatan mereka. Ini bermakna, selain mengupah jurugambar, anda juga sebenarnya membayar kos ‘sewa’ peralatan mereka.


2) Kemahiran Jurugambar

Untuk menjadi seorang jurugambar yang baik, seseorang itu perlulah mempunyai kemahiran fotografi yang tinggi. Selain dari itu, jurugambar juga perlu mempunyai kemahiran lain seperti kreativiti, pandai berkomunikasi, mempunyai citarasa yang tinggi dan kemahiran lain. Kemahiran ini hanya dapat dikuasai dengan pengetahuan, latihan dan pengalaman. Ini bermakna, semakin tinggi kemahiran seseorang jurugambar itu, semakin tinggi pula harga yang akan dikenakan untuk perkhidmatannya.

3) Masa Perkhidmatan

Jurugambar adalah seorang profesional. Ini bermakna, beliau hanya akan mendapat bayaran dari kerja perkhidmatan yang dilakukan. Seseorang jurugambar cuma boleh merakam gambar untuk satu majlis sahaja pada sesuatu masa. Ini bermaksud, masa adalah satu faktor yang amat bernilai kepada seseorang jurugambar. Dengan itu, jurugambar mengenakan harga untuk perkhidmatannya berdasarkan berapa lama masa yang perlu diambil untuk sesuatu tugasan.

4) Perkhidmatan Selepas Rakaman

Setelah jurugambar selesai merakam gambar untuk majlis perkahwinan anda, tugas beliau sebenarnya tidak habis di situ sahaja. Beliau perlu menyunting kesemua gambar yang telah dirakam dengan memilih gambar yang terbaik sahaja. Sekiranya perlu, gambar yang terpilih akan diperbaiki lagi dari segi kecerahan, kontras, warna, ketajaman, komposisi dan sebagainya. Seterusnya, barulah gambar anda tadi akan dicetak. Selepas cetakan gambar siap, jurugambar akan meneliti kembali kualiti cetakan gambar. Gambar yang tidak sempurna akan dicetak kembali agar mencapai tahap kualiti yang dikehendaki. Akhir sekali, kesemua gambar-gambar tersebut akan disusun ke dalam album sebelum diserahkan kepada pelanggan.

5) Kos material

Selain dari kos perkhidmatan yang disebutkan di atas, kos material juga terlibat dalam menentukan harga perkhidmatan seseorang jurugambar. Antara kos material yang terlibat ialah kos pengangkutan, cetakan gambar, album, bil telefon, kos promosi serta lain-lain kos peniagaan.

Dengan mengetahui kos sebenar yang terlibat dalam menghasilkan gambar perkahwinan, diharap anda akan lebih menghargai peranan seorang jurugambar walaupun anda terpaksa mengeluarkan sejumlah wang untuk membayar perkhidmatannya. Walau apa pun, sememangnya berbaloi untuk membelanjakan wang kepada sesuatu yang boleh anda tatap sehingga ke akhir hayat. Tambahan pula, ianya adalah gambar hari yang paling bahagia dalam hidup anda.


.:dzulfotografi:.